Tuesday, March 17, 2009

Lobak, Telur @ Semangkuk Kopi?

Pada suatu hari, seorang pemuda kelihatan gelisah kerana beranggapan hidup terasa amat menyakitkan. Setiap kali dia dapat menyelesaikan sesuatu kerumitan, timbul pula masalah lain yang memerlukannya ‘berjuang’ lagi.

Akhirnya pemuda itu bertemu dengan ayahnya, seorang tukang masak. Dia menceritakan masalah yang dihadapinya dan didengar dengan sabar oleh bapanya. Setelah habis dia mencurahkan perasaannya, bapanya membawa pemuda itu ke dapur.

Di situ, si ayah mengisi tiga periuk dengan air dan meletakkan periuk itu di atas api. Apabila air mendidih, dia memasukkan lobak merah di dalam periuk pertama, telur di periuk kedua dan serbuk kopi di periuk ketiga. Bahan itu dibiarkannya mendidih.

Si anak tertanya-tanya dan menunggu dengan tidak sabar sambil memikirkan apa yang dilakukan ayahnya. Setelah 20 minit, si ayah mematikan api. Ia menyisihkan lobak dan meletaknya dalam mangkuk, mengangkat telur dan meletakkannya di mangkuk lain, dan menuangkan kopi dalam mangkuk yang lain juga. Lalu ia bertanya anaknya“Apa yang kau lihat, nak?”
“Lobak, telur dan kopi,” jawab si anak.

Carrot

Si ayah mengajaknya mendekati mangkuk dan memintanya merasai lobak itu. Pemuda itu menurut dan dirasakan lobak itu enak.

Egg

Ayahnya meminta pemuda itu mengambil telur dan memecahkannya. Setelah membuang kulitnya, ia mendapati sebiji telur rebus yang mengeras.

Coffee


Terakhirnya, ayahnya meminta dia merasai kopi. Pemuda itu tersenyum ketika merasai kopi dengan baunya yang harum.
“Apa erti semua ini, ayah?” tanya pemuda itu.

Ayahnya berkata, tiga bahan yang direbus tadi menghadapi kesulitan sama – direbus dalam air yang mendidih tetapi setiap satu menunjukkan reaksi berbeza. Sebelum direbus, lobak bersifat keras dan sukar dipatahkan. Namun selepas direbus, lobak menjadi lembut dan lunak.

Telur pula sebelumnya mudah pecah tetapi apabila direbus, isinya menjadi keras. Serbuk kopi mengalami perubahan yang unik. Setelah ada dalam rebusan, serbuk kopi mengubah air berkenaan.
“Kamu termasuk dalam kategori mana?” tanya si ayah.

Pemuda itu terdiam.

“Air mendidih itu umpama kesukaran dan dugaan yang kamu lalui. Ketika kesukaran dan kesulitan mendatangimu, bagaimana kau meghadapinya? Apakah kamu lobak, telur atau kopi?”
Pemuda itu termenung memikirkan perumpamaan yang diberikan bapanya.

“Jika kamu lobak yang kelihatannya keras, kamu akan mudah menyerah kepada penderitaan dan kesulitan. Kamu bakal hilang kekuatan. Atau kamu adalah telur yang awalnya memiliki hati lembut, dengan jiwa yang dinamik, tetapi dengan adanya cabaran dan kegagalan, menjadi keras dan kaku, walaupun kelihatan sama pada luarannya.

“Ataukah kamu adalah serbuk kopi? Ia mengubah air panas yang menyakitkan itu. Ketika air mencapai suhu terpanas, kopi terasa semakin nikmat. Sepatutnya kamu menjadi serbuk kopi ketika keadaan menjadi semakin buruk, kamu menjadi semakin
baik dan membuat keadaan di sekitarmu juga menjadi semakin baik,” jelas si ayah dengan penuh pengajaran kepada anaknya itu.

0 comments:

Post a Comment